Politeknik METrO Johor Bahru

Font Size

Cpanel

Perutusan Pengarah Bulan Februari 2017

image

Tahun 2017 sudah lama bermula. Hanya sekarang baru saya berkesempatan hadir dalam Amanat Pengarah. Maafkan saya kerana tidak mampu mengejar masa di hujung tahun 2016. Saya percaya semua warga PMJB berlari-lari memenuhi masa dengan menyelesaikan tanggungjawab yang tidak pernah ada penghujungnya.

Saya pasti semua di antara kita sedar sistem semester yang digunakan menjadikan hujung tahun kita amat sibuk. Sesi Disember bermula serentak dengan penutupan akaun. Sistem semester yang kita gunakan menjadikan hujung tahun padat dengan memulakan semester dan mengakhirkan pengurusan kewangan. Tidak lupa membuat persiapan menyusun perancangan strategi, takwim dan penstrukturan semula kerana berlaku pergerakan staf. Awal tahun terus berdiri dan berlari menyambut kehadiran audit dan menyusun taktik menyempurnakan strategi yang dijanji.

Tahun baru, azam baru. Kesungguhan dan komitmen diperbaharui. Kecekapan dan keberkesanan meningkat disebabkan ilmu dan pengalaman yang bertambah, bijak membuat keputusan kerana tajam daya fikir dan tinggi kematangan jiwa.

Keperluan kerja akan menjadikan kita sentiasa belajar untuk melaksanakannya dengan lebih baik. Pengalaman akan kita raih di sepanjang pekerjaan. Namun kebijaksanaan membuat keputusan banyak bergantung kepada cara mana kita melihat sesuatu perkara. Di sini akan memperlihatkan kreativiti, ketelitian dan pandangan jangka panjang. Sangat penting kita dapat membezakan kepentingan jabatan dan diri sendiri. Namun kebijaksanan akan membantu kita membuat dan meletakkan pemberat yang sama adil untuk keduanya.

2017 akan pergi dan berakhir - sama seperti tahun-tahun sudah. Kerja tidak pernah berakhir malah bertambah dan pelbagai. Rencah dan corak kehidupan semakin banyak dan berwarna-warni. Masalah dan cabaran semakin bertambah.

2016 menyaksikan banyak kejayaan dan pencapaian PMJB. Pelajar menang tempat kedua di eMCC, Anugerah Pelajar Cemerlang, pingat emas inovasi dan pencapaian KPI. Tahniah saya ucapkan kepada warga kerja PMJB dan pelajarnya yang sentiasa memberikan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dilakukan.

Banyak lawatan yang kita lakukan bagi menambah pengalaman dan pengetahuan agar kita dapat melihat orang yang lebih baik sebagai penandaaras. Jika kita sentiasa berpuas hati dengan apa yang kita ada, kita sudah berada di zon yang sangat selesa, maka kita perlu pergi melihat kelebihan malah kekurangan orang lain juga agar kita dapat menilai dan membezakan kebaikan dan kelemahan sewajarnya.

Bagi mereka yang berpeluang melawat Songkhla Rajabhat University dan Hat Yai, Thailand, anda pasti teruja dengan kekuatan sektor pendidikan di sana. Kita dapat melihat bagaimana universiti di Thailand membina dan menjalin hubungan dengan industri yang menjadi tulang belakang kerja-kerja praktikal. Mereka mungkin tidak menyatakan dengan jelas Konsep 2U2I, tetapi industri sudah ada di dalam universiti. Industri menyediakan peralatan untuk makmal, industri datang ke universiti dan menjadi penyelia

PMJB sudah lama melaksanakan WBL. 1.5P1I. Memperkenalkannya pada tahun 2011 dan melaksanakannya mulai tahun 2013. Tiga kohort pertama telah bergraduat. Bilangan syarikat bertambah dari semasa ke semasa. Keakraban hubungan kolaborasi PMJB – industry harus dikekalkan. Menjadi tanggungjawab kita semua agar momentum ini dijaga sebaiknya malah kita dapat memanfaatkan dengan lebih bijaksana. Tidak boleh berpuashati dengan WBL sahaja, kita perlu meningkatkan kebolehpasaran dan kecemerlangan graduan.

Semakin lama semakin ramai graduan kita, semakin banyak pula cabaran yang perlu kita tangani. Pensyarah dan staf akan berhadapan dengan anak-anak pelajar yang semakin besar jurang usianya. Kelompok anak-anak tahun 1995 dan ke atas, adalah anak-anak yang tidak pernah mandi sungai malah tidak pernah bermain hujan. Tidak berlari mengejar bas, tidak beratur di pondok telefon awam, tidak menyalin nota berkajang-kajang. Semuanya di hujung jari, semuanya ada di depan mata. Semuanya diatur dan diuruskan. Sangat fragile kerana proses tumbesarannya dikelilingi dengan segala kemudahan. Ibu bapa berusaha bermati-matian untuk menyediakan keperluan agar mereka tidak susah seperti ibu dan ayah. Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan terdedah dengan media sosial menjadikan anak-anak merasakan mereka sudah banyak pengalaman dan cukup bijak membuat keputusan.

Maka dengan itu, tugas pensyarah dan pentadbiran menjadi lebih banyak dan pelbagai. Kita perlu bijak menggunakan ruang dan peluang yang diberikan. Tanggungjawab yang diberi adalah amanah. Jangan kita jadi penyebab kepada ketidakberhasilan suatu objektif. Jangan kita dilihat sebagai seorang yang tidak berprestasi dan sukar memberi kerjasama. Dalam melaksanakan tugas, kita sentiasa akan bergantung kepada rakan yang lain. Maka kita juga harus sedar bahawa kita perlu menjaga kerja orang lain agar berjalan lancar. Jaga masa.

Tinggal beberapa hari lagi kita akan menganjurkan Karnival Teknologi Pengurusan Patuh Syariah@PMJB 2017. Saya secara peribadinya sangat berbangga dengan komitmen dan kecekapan pegawai yang dapat menjayakan karnival seperti ini setiap tahun. Tahun 2016 kita menganjurkan Pertandingan Inovasi dan Kreativiti (PNiCC 2016) . Kini PNiCC 2017. Cuma kali ini kita angkat ke aras yang lebih tinggi dengan menganjurkan karnival yang merangkumi 7 aktiviti utama. Ini menunjukkan gabungan kekuatan pemikiran dan fizikal dapat merealisasikan impian PMJB.

Kekuatan itu terletak di jiwa.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Datang kepada semua peserta Karnival Teknologi Pengurusan Patuh Syariah@PMJB 2017. Semoga penyertaan dan kehadiran Tuan Puan dapat menyemarakkan lagi majlis kami.

PMJB ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Menteri Besar Johor atas sokongan dan bantuan. Terima kasih tidak terhingga kepada YB Datuk Hj. Adam Bin Sumiru, ADUN Tanjung Puteri yang tidak putus-putus membantu PMJB dalam pelbagai bentuk. Semoga hasrat YB Datuk ingin melihat graduan PMJB berjaya sebagai usahawan dapat direalisasikan.

Terima Kasih juga kepada Ketua Pengarah JPP , YBhg. Dato’Amir Bin Md Noor dan Selamat Datang kepada Timbalan Ketua Pengarah (Stategik) JPP En. Shabudin Bin Man, Dr. Rahim Bin Ahmad (Pengarah PPiP), Tn Hj. Wan Zulkifly Bin Wan Zakaria (Pengarah BPPel) yang sentiasa menyokong kami.

 

Kepada para pelajar yang dikasihi,

Di mana kita berada, di mana kita bermula, dari mana kita datang, apa latar belakang kita, berada di dalam institusi pengajian tinggi, kita adalah sama. Kita adalah pelajar yang melangkah keluar rumah dengan niat untuk membina jati diri. Yang dihantar oleh keluarga dengan harapan dan doa agar kita dapat menuju titik kejayaan dan mencapai bintang. Kita adalah insan terpilih yang diberi keistimewaan menggunakan kemudahan dan diberi kesempatan menyerlahkan keupayaan dan kecemerlangan diri.

Lalu, gunakan kesempatan dan peluang itu dengan sebaiknya. Membina jati diri dengan kecemerlangan. Susun strategi untuk menjunjung ilmu, memperbaiki peribadi. Akhlak mulia menjadi sanjungan, keutamaan dan pilihan walau di mana kita berada. Anda mungkin hebat di medan kuliah, tetapi kerjaya menuntut budi pekerti mulia. Kesungguhan, kematangan fikiran, disiplin, sahsiah dan personaliti terpuji menjanjikan kehidupan yang lebih baik.

Selamat Maju Jaya. Saya Sayang Anda.

 

Sekian. Terima kasih.

Fi Mardhatillah.

NORAH BINTI HJ. MOHD.ZAN

PENGARAH PMJB.

14.02.2017