Politeknik METrO Johor Bahru

Font Size

Cpanel

Program Gerak Usahawan Kampus 2016

Politeknik METrO Johor Bahru telah menganjurkan Program Gerak Usahawan Kampus 2016 (Zon Selatan) pada 29 September 2016. Program keusahawanan ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar serta menerapkan unsur-unsur teori dan praktikal keusahawanan kepada peserta khususnya dari politeknik zon selatan. Selain penglibatan Politeknik Ibrahim Sultan dan Politeknik Mersing, program ini juga telah melibatkan komuniti setempat.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang Program Gerak Usahawan ini berlangsung seperti pembukaan gerai jualan oleh pelajar dan alumni, pameran dari agensi seperti Unit Agropreneur Muda, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta TEKUN Nasional, Bicara Usahawan bersama selebriti Heliza Helmi, Kursus Pertanian Bandar, Bengkel Keusahawanan, bengkel dan pertandingan solekan, pertandingan gubahan buah, PMJB Entrepreneur Race, pendaftaran perniagaan (SSM) dan banyak lagi.


Dianggarkan 500 orang peserta terdiri dari pelajar dan komuniti setempat telah mengambil bahagian dalam program ini. Program diserikan lagi dengan kehadiran En. Zharif Naqiuddin Bin Abdul Munit, wakil Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik. Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Puan Suzzana Bt. Abd Rashid, Pengerusi Dewanita DPMM Negeri Johor.


Secara keseluruhannya, program ini berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama yang baik daripada semua pihak. Secara tidak langsung, program ini telah dapat meningkatkan minat dan kefahaman pelajar dalam menceburi bidang keusahawanan dan menjadikannya sebagai kerjaya pilihan kelak.

Disediakan oleh : Puan Wido Mes Wati Binti Sukadi
Unit Keusahawanan PMJB

Unit Agropreneur Muda (UAM), Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani turut mengadakan pameran untuk menggalakkan penyertaan belia dalam bidang keusahawanan tani.

Peserta bengkel persediaan alam kerjaya dan keusahawanan tekun mendengar ceramah yang disampaikan oleh Puan Hjh. Juliyanah Bt. Abd Hamid (MPS Consultancy & Training) di BK 1 & 2,PMJB.

Pameran dan kaunter pendaftaran perniagaan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Kursus Pertanian Bandar yang disampaikan oleh Tn. Hj. Abd Azis Bin Abd Karim, pegawai dari Jabatan Pertanian Negeri Johor.

Para pelajar mendapat inspirasi untuk menjadi usahawan dan teruja mengabadikan kenangan bersama usahawan selebriti, Heliza Helmi.

Pelajar mengunjungi gerai jualan dan mendapatkan maklumat dari agensi yang terlibat membuat pameran.

Penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan PMJB Entrepreneur Race oleh Puan Suzzana Bt. Abd Rashid, Pengerusi Dewanita DPMM Negeri Johor.