Politeknik METrO Johor Bahru

Font Size

Cpanel

Perutusan Pengarah Bulan Julai 2016

image1

Warga PMJB yang saya hargai.

Semoga semuanya berada di dalam keadaan sihat dan bersemangat terutama selepas bercuti lama meraikan Aidil Fitri dan bulan Ramadhan. Semestinya azam dan kecekalan Ramadhan masih terpahat di dalam sanubari masing-masing.

Cuti telah berlalu, sepatutnya kita sudah cukup rehat dan bersedia menghadapi hari kerja dengan penuh semangat yang diperbaharui. Semasa bercuti kita berpeluang melakukan perkara-perkara ehsan yang kita tinggalkan semasa bekerja. Lalu selepas bercuti panjang, nafas baru yang dihela sepatutnya lebih segar, sihat dan bersemangat. Kelebihan cuti yang diberikan saya harap dapat memberikan kekuatan baru kepada semua, supaya hasil dan mutu kerja menjadi lebih baik dan sempurna.

Kepada pelajar, pastinya cuti memberikan masa untuk mendekati ibu bapa yang ditinggalkan. Kasih sayang yang diberikan sepatutnya menyuntik semangat baru yang lebih segar bagi persiapan pembelajaran. Tiada alasan yang boleh diberi kerana kita mempunyai masa yang cukup untuk menguruskan perjalanan pergi dan balik. Tiada alasan yang konkrit untuk tidak hadir pada hari pertama selepas cuti panjang. Persiapan mental dan fizikal telah disiapkan dan dirancang lebih awal. Kita tahu bila kelas dan kerja bermula.

Saya percaya belum ramai yang sedar atau membaca tulisan saya setiap bulan. Oleh kerana kita terlalu sibuk dengan tugas seharian, kadang-kadang kita tidak dapat membahagikan masa dengan baik. Dalam keadaan mencari keseimbangan kerja dan rumah tangga, kita hilang pertimbangan dan terdesak sehingga melakukan perkara yang berada di luar tatacara dan prosedur kerja.

Warga PMJB sekalian,

Hari ini saya ingin menyentuh tentang tanggungjawab menjaga harta politeknik/kerajaan. Politeknik ini adalah tempat kita mencari makan, menjadi tempat punca pendapatan agar kita dapat melunaskan tanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga. Maka seharusnya kita sayangi politeknik ini seperti kita sayangi rumah kita sendiri dan isinya. Memastikan politeknik dan seluruh isinya dalam keadaan baik, teratur dan terjaga. Setiap orang dari kita wajib menjaganya dengan baik kerana kita adalah pengguna yang sentiasa mencari kesempurnaan. Namun, apabila kemudahan telah diberi, kita tidak jaga sebaiknya. Sekiranya kemudahan ditarik balik, pasti kita yang paling lantang bersuara meminta hak untuk mendapatkan kemudahan tersebut.

Maka sewajibnyalah kita jaga segala kemudahan yang diberi.

Usaha menjaga harta politeknik adalah tanggungjawab bersama di antara pensyarah, pegawai, pelajar dan pegawai pelaksana. Semua pihak hendaklah menggunakan dan menjaga setiap kemudahan yang disediakan di politeknik dengan sebaik-baiknya, di samping bekerjasama membanteras perbuatan memusnahkan harta politeknik/kerajaan.

Antara usaha-usaha yang boleh dilakukan ialah:

  • Menggunakan peralatan yang disediakan dengan cermat
  • Melaporkan kerosakan kepada pegawai yang berkenaan
  • Setelah menggunakan sesuatu peralatan, hendaklah diletakkan ke tempat asalnya dengan baik
  • Menjaganya seperti harta sendiri
  • Bergotong-royong membaik pulih peralatan yang rosak
  • Berjimat cermat menggunakan elektrik. Matikan semua suis lampu/kipas dan air cond apabila tidak digunakan.

Ingat ini semua kemudahan sementara yang diberi pinjam kepada kita. Mungkin esok lusa mungkin bukan milik kita lagi. Maka selagi ia berada di bawah tanggungjawab kita, buatlah sebaiknya.

Seperti juga hak kerja dan belajar. Hari ini dalam genggaman kita, esok lusa kita tidak tahu, ia menjadi milik siapa. Peliharalah sebaiknya. Setiap kesusahan yang kita hadapi hari ini, sebenarnya ada orang lain lebih dahului melaluinya, mungkin lebih perit dan jerih. Bersyukur hari ini kita memiliki pekerjaan dan pelajaran yang sangat mudah. Semua itu rezeki dan rahmat Allah.

 image2

 Sekian. Terima kasih.

NORAH BINTI HJ. MOHD.ZAN
PENGARAH PMJB.
12.07.2016